PENGHULU ISTIGHFAR

Rasional bekerjasama dengan parti yang menolak hudud

Selasa, Oktober 26, 2010

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Sebenarnya tidaklah susah sangat untuk menjelaskan mengapa PAS mahu bekerjasama dengan DAP yang menolak negara Islam serta pelaksanaan hukum Hudud. Namun akibat kurang faham kadangkala pemimpin parti peringkat tertinggi pun boleh tersasul, apabila diprovoke oleh pihak musuh terutama Umno berhubung isu tersebut.
Penolakan DAP terhadap pelaksanaan Hudud bukan penolakan peribadi Pengerusinya Karpal Singh tetapi sikap rasmi parti itu sejak dahulu. Bukan sekali DAP menegaskan bahawa ‘negara Islam dan hukum hudud’ tidak termasuk dalam agenda kerjasama antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Sekian lama kita mengupas isu strategi dalam dakwah dan politik; bahawa dalam mengendalikan kedua urusan tersebut, jamaah Islam mestilah menggambilkira ‘waqi dan biah’ ataupun realiti dan suasana.
Realiti politik di Malaysia ialah, tidak ada mana-mana parti politik pun (yang berasaskan kaum atau agama) boleh membentuk kerajaan secara bersendirian. Pola komposisi kaum yang diwujudkan oleh penjajah, menyebabkan mana-mana parti yang didominasi oleh orang Melayu memerlukan sokongan parti kaum minoriti untuk membentuk kerajaan.
Sejak sistem demokrasi berparlimen diperkenalkan di negara ini, Umno dianggap sebagai parti yang terkuat yang sehingga kini ia belum mampu dicabar dalam mana-mana pilihanraya umum. Umno adalah parti yang berasaskan kaum Melayu dan perjuangannya pun berteraskan asobiyyah Melayu sempit.
Sekuat-kuat Umno pun, jika ia memilih untuk menyertai pilihanraya secara bersendirian, bertanding di kesemua kerusi Parlimen; Umno masih tidak mampu untuk membentuk kerajaan. Tanpa kerjasama dengan bukan Melayu, ditambah dengan persaingan parti politik Melayu/Islam atau individu Melayu/Islam dari parti multi racial, maka Umno tidak berupaya memenangi kesemua kerusi. Apatah lagi jika PAS yang buat masa ini belum lebih kuat dari Umno, jika bercadang untuk bertanding di kesemua kerusi Parlimen maka jawapannya tetap sama. Ia adalah realiti politik yang sangat mudah untuk difahami.
Justeru itu, PAS perlu jalinan kerjasama dengan parti bukan Melayu untuk membentuk kerajaan di Pusat. DAP bukan parti Cina, tapi imej DAP adalah ‘parti Cina’. DAP adalah ‘parti Cina’ yang berpengaruh setanding dengan MCA dan Gerakan. Sebagai pembangkang, pilihan yang ada bagi PAS ialah DAP, bukan MCA atau Gerakan. Kerjasama PAS dan DAP dijalin atas banyak persetujuan bersama. Antaranya penentangan berterusan terhadap rasuah, kronisme, ISA, ketidakadilan sosial, beberapa akta Parlimen yang merampas hak rakyat, hedonisme yang keterlaluan, kepincangan sistem kehakiman, penyalahgunaan kuasa polis, penyalahgunaan instrument kerajaan untuk politik dan macam-macam lagi.
Segala kebejatan itu berakar umbi dalam kerajaan tanpa dapat dibendung lagi. Sehebat-hebat PAS sekalipun, tidak akan dapat melakukan apa-apa untuk membetulkan segala kepincangan itu seandainya bersama dalam BN (Wal’yazubillah, itu cuma andaian). Satu-satu cara untuk ‘membunuh’ semua kebejatan itu ialah dengan menumbangkan BN di Pusat.
Di peringkat negeri kerjasama seperti itu terbukti dapat mengalahkan BN di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Maknanya dengan kerjasama yang serupa BN boleh dikalahkan di Pusat.
Umno cukup sedar bahawa dengan kerjasama antara PAS, DAP dan KeADILan adalah satu-satunya cara BN boleh ditumbangkan di Pusat. Maka satu-satunya cara untuk menghalang perkara tersebut ialah dengan memecahkan kerjasama PAS, DAP dan KeADILan. Umno juga tahu bahawa isu besar yang boleh (dianggap) memecahkan PAS dan DAP ialah isu ‘Hudud atau Negara Islam’. Maka soalan cepu emas yang sering diajukan Umno di kalangan umat Islam ialah, mengapa PAS sanggup bersama DAP yang menolak hudud? Manakala di kalangan bukan Islam pula, mengapa DAP nak bekerjasama dengan PAS yang nak laksanakan hudud?
Seperti yang dijelaskan tanggungjawab dan kewajipan menumbangkan BN sangatlah besar tuntutannya. Jika PAS perlu memilih parti politik bukan Islam yang kuat, dan sedia terima hudud (sebagai syarat), baru hendak dijadikan rakan kerjasama menumbangkan BN maka PAS tidak akan menjumpainya. Maka Umno/BN akan terus berkuasa.
Apabila DAP menolak peraksanaan hudud, tidak bermakna PAS memadam terus cita-cita tersebut. Apa yang berlaku ialah PAS mahu tetapi tidak mampu. Terdapat berbezaan yang jelas antara ‘tidak mahu’ dan ‘tidak mampu’.
Pindaan perlembagaan ke arah pelaksanaan hudud perlukan sokongan dua pertiga di Parlimen. Khusus untuk mengizinkan pelaksanaan hudud di negeri, Parlimen perlu meminda Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 terlebih dahulu. Tanpa sokongan dua pertiga maka PAS bersendirian ‘tidak mampu’ melakukannya. Tidak berdosa seorang miskin yang tidak mampu menunaikan haji di Mekah lantaran tiada wang, sedangkan dia memang menyimpan cita-cita dan berusaha untuk menunaikannya.
Hudud adalah satu juzuk dari tuntutan Islam yang diwajibkan ke atas pemerintah, bukan kewajipan individu. Bagi individu Muslim, tanggungjawab mengembelingkan kekuatan ummah serta menjana kebangkitan rakyat untuk menumbangkan kerajaan yang tersenarai 1001 kebejatan tadi adalah kewajipan yang lebih utama.
Jika waqi’ dan biah yang ada; menuntut kerjasama dengan DAP sebagai pra syarat mencapai cita-cita tersebut maka tentu ia menjadi keutamaan. Tidak betul untuk membiarkan pihak yang zalim terus berkuasa hanya kerana merasakan satu juzuk dari ajaran Islam (hudud) tidak dapat dilaksanakan jika berkongsi kuasa. Kita tidak boleh menunggu mampu buat semua perkara, baru hendak memulakan semua perkara. Kaedah feqah sangat jelas, ‘tak boleh buat semua jangan tinggal semua.’
Tidak boleh buat hudud (untuk sementara) sekurang-kurangnya PAS boleh memegang tampuk kuasa. Banyak perkara yang boleh dilakukan dengan kuasa untuk kebaikan. Rakyat boleh difahamkan dengan Islam sama ada dengan lisan atau suri teladan yang baik bila parti Islam mentadbir. Sebab itu tidak perlu kenyataan, “Kita akan kaji kerjasama dengan DAP jika tolak hudud.” Hal yang jelas ialah rakan kerjasama adalah parti yang tidak berteraskan Islam. Kalau kita mahu 100 peratus jadi macam kita baru boleh kerjasama, tidak wujud lagi DAP dan tiada lagi istilah kerjasama. Mestilah terdapat berbezaan, walaupun banyak aspek bersama yang diperjuangkan. Umno, MCA, Gerakan dan MIC pun berbeza dalam banyak perkara. Tetapi akibat permuafakatan mereka dapat berkuasa lebih separuh abad. PAS dan DAP kena begitu. Kita cuma beberapa langkah saja lagi dengan Putrajaya. Jadi jangan cepat sangat melatah dengan paluan gendang musuh,....kedahlanie

0 comments:

/baca /bye /ding /hore /joget
/kembik /love /marah /melet /mencak
/nangis /ngayal /puyeng /serem /stres

Catat Ulasan